TAKABBUR MEROSAKAN AMALAN


Sifat takbur adalah merujuk atau sinonim kepada sifat-sifat seperti sombong, angkuh, bermegah-megah, ego dan menganggap orang lain atau puak lain lebih rendah daripada dirinya atau puak/golongannya.

Sifat ini tergolong dalam kumpulan sifat-sifat keji dan tidak disukai sama sekali oleh Allah S.W.T, sebagaimana peringatan Allah di dalam surah An-Nahl ayat 23:

Maksudnya:”Sebenarnya, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur itu”.

Rasulullah S.A.W. pernah berkata kepada Abu Zar r.a.:”Wahai Abu Zar! Barangsiapa yang mati manakala di dalam hatinya ada sebesar debu daripada sifat-sifat takbur, maka dia tidak akan mencium bau syurga kecuali dia sempat bertaubat sebelum maut menjemputnya”.

Manusia yang berlagak takbur akan sentiasa dilaknat oleh Allah, kerana mereka menyaingi kebesaran dan keagungan Allah. Juga kerana mereka telah membesarkan diri mereka sendiri, bukan orang lain yang membesarkannya. Mereka seumpama iblis di mana pada mulanya merupakan makhluk yang sangat kuat beribadah, tetapi akibat buruk daripada sifat takburnya, maka dalam masa satu saat sahaja dia dilaknati oleh Allah S.W.T, hingga ke hari ini dan sampai kiamat.

Demikianlah juga segala niat dan perbuatan kita, andainya ditegakkan di atas dasar/sikap takbur, maka akan hancur lebur dan sia-sialah hidup serta amalan kita. Dengan kerana takbur itu hajatnya akan ditolak, puasanya sia-sia, sembahyangnya akan membawa kecelakaan. Salman Al-Farisi r.a. adalah antara seorang sahabat Rasulullah S.A.W, ketika ditanya: ‘Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia? Beliau menjawab: Takbur.

Janganlah kita merasa membanggakan diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi,mempunyai pangkat yang besar,hidup yang mewah sehingga memandang rendah pada orang lain,. Takbur merupakan sifat Allah, kerana Allah tiada mempunyai saingan. Tiada sesiapa yang mampu mengatasi atau menandingi-Nya dalam kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Andainya, sifat berkenaan kita guna pakai, maka sudah tentulah kita sudah tersalah guna sifat kebesaran dan keagungan Allah S.W.T.

Kesombongan bukan sahaja merugikan manusia, malah mengheretnya kepada kehinaan di akhirat kelak.

Haritsah bin Wahab r.a. berkata Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:”Mahukah kamu aku beritahu tentang ahli neraka? Iaitu setiap sifat keras hati, berjalan dengan angkuh dan sombong”. (HR Muttafaqun ‘alaih).
Manakala tips, bagaimana hendak mengatasi sifat takbur yang kadang-kadang menyerang diri kita secara tiba-tiba adalah apabila sifat tersebut timbul disudut hati kecil kita yang berkaitan dengan keturunan, kecantikan, kekayaan, keilmuan, kuasa dan pengaruh. Maka, sedar dan ingatlah bahawa bukan kita sahaja secara mutlak yang mempunyai keturunan, kecantikan, kekayaan, ilmu, kuasa dan pengaruh. Malah masih ramai lagi individu atau kumpulan lain yang memiliki taraf yang sama dengan kita, bahkan itu adalah kurniaan Allah swt semata-mata kepada kita.

Firman Allah swt;

“Tiada daya ( untuk meninggalkan maksiat) dan tiada upaya ( melakukan ketaatan) kecuali dengan (anugerah atau izin) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

Saudara-saudaraku..Apalah yang hendak kita banggakan dengan ibadah yang dilakukan, kerana keseluruhan modal untuk kita melakukan taat itu sendiri datangnya daripada Allah. Ruh, jasad, urat saraf, tulang belulang, sendi, darah, kudrat, keinginan serta kemahuan, kerajinan serta ketekunan semuanya daripada Allah. Hatta bisikan hati untuk melakukan taat itu sendiri adalah anugerah Allah swt. Betapa agungnya kurniaan Allah. Lidah yang bergerak untuk memuji Allah itu juga kurniaan Allah, hatta kalimah pujian itu juga dibisikkan Allah kedalam hati hamba. Siapalah kita nak berlagak di hadapan Tuhan.

saudara-saudaraku..Cuba direnung secara halus. Berapa peratuskah keterlibatan kita untuk menghasilkan segenggam beras?. Kita hanya menabur benih yang telah disediakan oleh Allah. selepas tabur, kita pulang kerumah. Benih yang kita tabur di sawah terus bertunas. Segala keperluan tumbesarnya disediakan Allah. Bahan organiknya, udaranya, airnya, cahaya mataharinya dan lain-lain. Sampai masanya keluarlah biji-biji padi yang berisi. Cuba bayangkan.layakkah kita mendapatkan hasilnya jika sekadar itu sahaja kerja yang kita buat dan terlibat?. Namun dengan kurniaan Allah dan kasihsayangNya kita terus menerus dilayaniNya dengan penuh kasih sayang. Maka layakkah kita untuk berlagak sombong di atas muka bumi Allah ini dan layakkah lagi kita mendurhakaiNya,

Comments are closed.

%d bloggers like this: