RIAK PENGHAPUS PAHALA


Sifat Riak adalah satu daripada sifat mazmumah yang boleh menghapuskan
segala pahala amalan yang telah kita lakukan. Perumpamaan sifat riak ini
adalah umpama api yang memakan sekam. Diluarnya dilihat baik tetapi di
dalamnya mengandungi niat yang tersembunyi selain dari Allah. Amalan yang
dilakukan bertahun-tahun lamanya itu hanya daloam sekelip mata sahaja
dihapuskan oleh perbuatan riak yang dilakukan walaupun sekali.

Ketahuilah bahawasanya riak itu haram hukumnya. Orang yang melakukan sesuatu
perbuatan dengan riak akan dimurkai Allah. Firman Allah :

“Maka celakalah bagi orang-orang yang bersembahyang, yang sentiasa lalai
kepada sembahyangnya. Mereka yang mengerjakan kebaikan dengan riak (iaitu
minta amalannya dilihat orang).” ( Al Ma’un: 4-6)

Untuk melawan riak, maka seseorang itu perlu ikhlas di dalam amalannya.
Tanpa ikhlas, sesuatu amalan akan tertolak. Amalan yang lain kalau ikhlas
akan diterima oleh Allah. Ikhlas ialah meniatkan sesuatu yang dilakukan atau
yang ditinggalkan kerana Allah. Kalau tidak diniatkan sesuatu yang kita
lakukan itu kerana Allah , maka amalan tersebut itu tidak di anggap ikhlas
dan tertolak serta tidak ada nilaiannya disisi Allah.

Ikhlas itu yang sebenarnya adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh
sesiapa pun. Tetapi walaupun ia rahsia, namun Islam ada membuat garis
panduan untuk kita mengukur hati kita dan membentuk kita agar benar-benar
ikhlas. Caranya, orang puji atau keji pada kita, kita rasa sama sahaja.
Pujian tidak membanggakan danm kejian tidak mengecewakan kita. Itulah tanda
ikhlas. Bagi orang yang beramal dan melakukan kebaikan, tidak mengharapkan
pujian dan tidak berkesan segala kejian itulah ikhlas. Bagi orang yang
ikhlas, mereka tidak mengharapkan sesuatu melainkan keredhoaan Allah.
Pandangan dan pujian manusia langsung tidak diendahkan. Pernah suatu ketika
di dalam peperangan, Sayidina Ali k.w.j diludahi mukanya oleh seorang musuh,
terus dilepaskan peluang untuk membunuh musuh tersebut. Bila ditanya kenapa
dia melepaskan musuh tersebut sedangkan musuh itu telah meludah mukanya.
Maka dijawab oleh Sayidina Ali “ Aku takut kalau-kalau pukulanku sesudah
ludahnya itu adalah kerana marah bukan kerana Allah.” Demikian contoh orang
yang ikhlas yang sanggup mengenepikan kepentingan diri dalam usaha mencari
keredhoaan Allah.

Untuk mendapatkan ihklas bukannya mudah. Tanpa usaha yang sungguh-sungguh
melawan nafsu dan syaitan, ikhlas tidak akan kita dapati. Syaitan telah
bertekad untuk menghancurkan kita. Ingatlah janji Iblis ketika dihalau Allah
s.w.t dari syurga yang difirmankan oleh Allah di dalam Al Quran :

“Jawab Iblis : Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua.
Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas dikalangan mereka.” (Sod : 82-83 )

Syaitan akan menyelinap di dalam hati setiap manusia untuk merosakkan amalan
dengan rasa ujub dan riak. Orang yang tidak mempunyai ikhlas sekalipun tuan
guru, ustaz ustazah,, kadhi, imam apalagi orang biasa, pasti Allah biarkan
mereka itu terperangkap di dalam jerat ujub dan riak yang merupakan jerat
syaitan dan nafsu. Bila Allah biarkan yang sedemikian, maka nerakalah tempat
kembalinya. Oleh itu hati-hatilah di dalam melakukan setiap amalan dan
pohonlah pimpinan Allah agar setiap amalan yang kita lakukan itu adalah
untuk Allah semata-mata bukan untuk kepentingan diri dan nafsu kita.

Comments are closed.

%d bloggers like this: